Monday, October 8, 2012

Jom Bercerita!

Ini semua salah Iswara!

"Umar, cuba tengok tu! Fuiyo dahsyatla, awan tu tak tergolek jatuh atas kita pun, walaupun tak ada tali," kata saya semasa memandu dalam perjalanan ke rumah emak di Kampung Melayu Subang.
"Ye lah Ummi, matahari tu pun sama. Elok je kat situ, tak jatuh pun," jawab Umar Hakim, anak sulung saya.
"Allah tu hebat kan, pandai Allah buat semua benda kat sekeliling kita ni, tak ada cacat langsung. Cuba Umar tengok benda yang manusia buat, sama hebat tak dengan yang Allah buat?" tanya saya.
"Tak, Allah lagi 'terer'!"jawab Umar dan Khadijah serentak.

Saya sangat menghargai kesempatan setiap kali di dalam kereta bersama anak-anak. Kebiasaannya fikrah mereka mudah dibentuk pada waktu ini, mungkin kerana tidak ada gangguan dari televisyen, komputer dan sebagainya. Mereka akan lebih fokus apabila saya dan suami bercerita tentang apa saja.

Pernah ada satu ketika, saya tersalah jalan semasa memandu pulang ke Putrajaya dari Subang. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa kurang sejam, terlajak hingga 2 jam! Allah sahaja yang tahu keadaan pada waktu itu. Memandu sendirian, kereta manual, bersama 4 anak kecil, tengahari pula tu! Bukan senang.
Anak-anak lapar.
Panas.
Pendingin hawa tak cukup kuat.
Semua alasan yang boleh menimbulkan kemarahan semua yang berada di dalam kereta.

Namun Alhamdulillah, tiada siapa pun yang marah. Perjalanan 2 jam itu penuh dengan cerita dan ketawa. Dalam tempoh itu juga saya dapat mengesan, apakah tindakan dan perasaan anak-anak ini apabila berada dalam keadaan menduga itu.

"Ni semua salah Iswara ni, kalau tak mesti kita tak sesat!" kata anak-anak.
Almaklum, sudah terbiasa dengan Avanza.
"Eh kesiannya, cuba tengok makcik tu! Bawa anak kecil 2 orang tengah-tengah panas ni. Jalan kaki je. Umar dan Jah tengah jalan kaki ke?" provok saya.
"Tak,"jawab mereka antara dengar dan tidak.
"Macam tu la anak-anak, kadang-kadang kita rasa kita susah, padahal sebenarnya ada ramai lagi orang yang lebih susah dari kita. Allah nak uji kita sesekali, apa salahnya. Nak tengok kita sabar ke tidak, tenang ke merungut. Kalau sabar, dapat pahala, kalau merungut berdosa, penat pula tu."

Mereka terdiam. Perjalanan seterusnya lebih tenang dan penuh gurau senda. Alhamdulillah setelah 2 jam dan melalui 4 tol, barulah kami tiba di Putrajaya. Akhirnya!
"Ummi, lain kali kita sesat lagi nak, seronok la," kata Umar dan Khadijah.

Aduh!

2 comments:

Anonymous said...

Tahniah dan terima kasih ke atas Cikgu Waridah dan Cikgu Yati atas didikan kpd Aisyah Wafiyah. -ibu aisyah wafiyah

cikgu waridah said...

Terima kasih juga puan:)