Saturday, September 29, 2012

anak asset ke syurga atau neraka

klip video ustaz don

 moga ada pencerahan dari sudut pandang sisi memaknakan  anak aset  yang sangat  bernilai untuk memimpin ibubapa ke syurga atau neraka...

''wahai ibubapa kalau hari ini anak-anak nampak agama itu kecil, tanggungjawab ibubapa lah bg anak-anak  nampak agama itu besar.

besar sungguh tanggungjawab ibubapa dalam menentukan anak syurga atau tidak .andaikata anak itu syurga yang dia nak bawa kepada kita..

maka  layaklah dia dalam kategori waladun solih -anak yang soleh  ''
 -ustaz don

dan sangat berbahagialah wahai ibubapa yang mendapat anak2 yang soleh...dikala jasad dikandung tanah  doa anak -anak yang soleh sentiasa mengalir tidak putus-putus buat bekalan kita di alam sana .''





















 mendidik cara rasulullah






Friday, September 28, 2012

Memaknakan hidup


“God! Use me, use me, use this life! I don’t know what the future holds for me but I know that there is a vision for my life that is greater than my imagination can hold. Use me, use me, what would You had me to do?”

Terjemahan ayat-ayat di atas adalah lebih kurang begini:

“Wahai Tuhanku, pergunakanlah aku di dalam kehidupan ini! Aku tidak tahu bagaimana nasibku di masa akan datang, tetapi aku yakin wahai Tuhanku, ada sesuatu yang besar untukku yang tidak boleh aku bayangkan. Pergunakanlah aku wahai Tuhan, apakah yang Kau mahu aku lakukan?”

Wah, hebatnya doa ini. Orang yang sudi meminta-minta begini kepada Tuhannya, menyerah diri secara total dan penuh, tentu sahaja bukan orang biasa.

Doa siapakah agaknya?

Jika jawapan anda, ia merupakan doa seorang ustaz atau ustazah, atau mungkin ilmuan agama, ternyata anda salah.

Bagaimana, mahu meneka lagi, atau menyerah diri?

Hm…tak apalah, saya berikan saja jawapannya. Ia adalah ‘doa’ Oprah Winfrey.

Oprah Winfrey yang mana? Yang terkenal di seluruh dunia itukah?

Ya. Oprah Winfrey yang itu.

Menurut ceritanya, ia adalah doanya kepada Tuhan setiap malam sebelum mula dikenali. Dengan bakat dan kebolehan yang ada pada dirinya, dia merasakan bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu untuk Tuhannya. ‘To please the God’ kata orang putih.

‘Doa’nya itu telah membawanya ke kaca televisyen, menjadi pengacara dan jadilah dia sebagaimana yang kita semua maklum hari ini, bergelar wanita yang paling berpengaruh di dunia.
Pesannya kepada semua, “Always keep your feet on the ground, even when you are wearing new shoes”.

Sememangnya dia benar-benar mengota apa yang dikata. Kejayaannya tidak melupakan dia kepada matlamat asal untuk berbakti kepada Tuhan dan bangsanya. Sejumlah wang yang besar diberikan kepada institusi gereja, membantu kempen Barrack Obama untuk menjadi orang kulit hitam pertama bergelar Presiden USA, menubuhkan sekolah di Afrika dan lain-lain lagi. Tidak pernah dia lupa diri.



Kita pula?

Bersiap-siap untuk keluar seawal 7.15 pagi. Menghantar anak ke taska, tadika atau sekolah kemudian terus berkejar ke pejabat sebelum mesin ‘punch card’ berbunyi jam 8. Pulang pada waktu petang, mengambil anak, pulang ke rumah dan meneruskan segala rutin biasa sebelum melelapkan mata setelah lewat malam. Begitulah sehari-hari.
Hujung minggu pula beriadah bersama keluarga tersayang, menonton wayang dan keluar makan-makan terutama apabila hujung bulan.

Rutin ini berterusan….dan lagi…dan lagi..dan lagi.

Di mana ruang dalam diari harian , mingguan atau bulanan, yang kita peruntukkan untuk berbuat sesuatu demi Tuhan tercinta?

Solat, puasa dan ibadah khusus yang lain (kecuali zakat), manfaatnya hanya khusus untuk diri sendiri. Cukupkah hayat ini hanya dihabiskan untuk itu?

Bayangkan pula sekiranya para sahabat Rasulullah dan tabiin berfikiran sedemikian, apakah mungkin kita akan merasai kemanisan hidup bersama Islam dan iman seperti sekarang?



Renung-renungkan...

Oprah Winfrey itu kafir. Tetapi dia yakin hidup ini bukan untuk diri sendiri sahaja. Perlu ada ruang yang besar untuk melakukan sesuatu demi apa yang diyakini, iaitu agama. Jika dia yang bukan Islam itu bersungguh-sungguh untuk memenangkan agamanya, kenapa tidak kita? Selama mana perlu berbangga dengan sejarah kegemilangan Islam sahaja, tidak teringinkah untuk berbuat sesuatu demi Islam di masa akan datang?

Ada orang memenangkan agama melalui pendidikan. Ada pula yang cenderung kepada politik, khidmat social dan sebagainya. Semuanya bergantung kepada kecenderungan dan kesedaran sendiri. Pilihlah apa saja, asalkan ia bermanfaat untuk ummah dan agama.

Mari berbuat sesuatu untuk Islam. Banyak sungguh ihsan dan budi Tuhan kepada kita, tidak terasakah ingin membalasnya?

Wallahua’lam.

Sunday, September 23, 2012

Belajar Membaca Dengan Kaedah Cikgu Yati



Sudah tentunya, setiap ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah untuk memastikan permata hati mereka memperolehi kemahiran asas yang wajib dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Kemahiran membaca adalah salah satu daripadanya.

Izinkan saya berkongsi kisah anak saya, Khadijah.

2 tahun lalu.

"Cik Ida, ni apa?" tanya Khadijah, anak saya yang kedua kepada makciknya. Dia sedang membaca buku pertamanya, 'Sentuhan Raja Midas'.

"'memerlukan'" jawab Cik Ida.

Khadijah ketika itu berusia 3 tahun. Setelah boleh mengenal huruf semasa berumur 2 tahun, dia mula menunjukkan minat untuk mula membaca. Pernah juga saya mencuba kaedah Phonics (suku kata) seperti yang digunakan kebanyakan orang, tetapi Khadijah dan abangnya akan cepat jemu untuk duduk lama membaca.

"You should teach your child to read as early as possible, using the Glenn Doman method, which is word by word," kata Puan Lala, anak kepada pengasas Institut Nury, Allahyarham Dr Noor Laily.

Saya mengakui kebenaran kata-kata tersebut. Setiap kali anak-anak saya mahu menonton rancangan kegemaran mereka, mereka akan menekan butang 'info' pada alat kawalan jauh, dan boleh membaca perkataan yang panjang-panjang seperti Detective Conan, Hagemaru,Belalang dan sebagainya, tanpa perlu mengeja.

Seolah-olah mereka melihat setiap perkataan itu sebagai satu simbol, sebagaimana mereka mengetahui simbol Petronas, McDonald, Shell dan seumpamanya.

Oh ya, hampir terlupa. Kembali pada cerita Khadijah tadi.

Setelah membiasakan matanya dengan perkataan demi perkataan, dia terdorong untuk membaca buku pula. Dia mengambil buku tersebut dan memaksa makciknya mengajarnya setiap perkataan dalam buku tersebut sehingga dia boleh membacanya dengan lancar. Lebih kurang seminggu masa dihabiskan untuk buku 'Sentuhan Raja Midas'.

Apabila sudah lancar membaca, Khadijah didedahkan dengan buku 'Cepat Tulis' untuk membolehkannya belajar memecahkan perkataan yang diketahui kepada suku kata, dan menulis perkataan tersebut.
Contohnya 'makan', dipecahkan kepada 'ma-kan', 'nyamuk' kepada 'nya-muk' dan sebagainya. Dalam tempoh 6 bulan, ketika berusia 3 tahun setengah, Khadijah secara rasminya sudah boleh membaca dengan lancar, dan menulis serta mengeja ketika berusia 4 tahun.


Cikgu Yati

Anak-anak Tadika Anak Soleh mengenali Cikgu Yati sebagai guru yang paling baik dan penyayang, dan menjadi rujukan utama mereka setiap kali mahu bertanyakan apa-apa.

Cikgu Yati pernah mengikuti kursus yang dianjurkan Nury, dan rentetan daripada itu, beliau mengaplikasikan kaedah tersebut di dalam kelas anak-anak 5 dan 6 tahun.
Namun demikian, pada hematnya, kaedah tersebut sahaja tidak mencukupi untuk anak-anak didiknya, disebabkan standard soalan peperiksaan yang hanya berkisar pada huruf besar dan kecil serta suku kata sahaja. Lantas beliau menambah juga dengan kaedah phonics khas untuk tujuan peperiksaan.

Word by word
Anak-anak diajar keseluruhan perkataan menggunakan flash card putih dengan tulisan huruf kecil berwarna merah, seperti 'apple', 'book', 'cat' dan sebagainya. Pastikan hanya tulisan sahaja, tiada gambar atau contengan lain pada flash card tersebut.

(InsyaAllah contoh flash card akan dimuatnaik kemudian).

Kelebihan kaedah ini ialah, anak boleh membaca dengan cepat, dan membiasakan matanya untuk melihat perkataan secara keseluruhan, tanpa perlu mengeja. Lebih bagus lagi, anak akan mudah untuk belajar membaca bahasa lain.

Mengapa?

Kebanyakan kaedah cepat membaca di pasaran, mengajar anak untuk mengeja sesuatu perkataan. Pada pendapat kami di Tadika Anak Soleh, kaedah ini mungkin relevan untuk subjek Bahasa Melayu, kerana ia mudah dieja.
Namun, bagaimana pula dengan bahasa lain? "scissors", "ache","stomach", "knee","facade" dan sebagainya, tentu sukar sekali mahu mengejanya.
Tambahan lagi, anak-anak juga kebanyakannya lebih menyukai kaedah ini, kerana mereka faham apa yang mereka sedang baca, berbanding 'bo','ba', 'bu', 'bi'...yang tidak mempunyai makna.


Kaedah Phonics
Sepertimana buku-buku cepat membaca seperti "bacalah anakku", "cepat baca" dan sebagainya, konsep yang digunakan adalah lebih kurang sama. Anak-anak diajar mengeja suku kata demi suku kata, dan dengan latihan yang berterusan, mereka akan dapat membaca dengan lancar, sungguhpun agak lambat sedikit berbanding kaedah yang dinyatakan sebelum ini.


Di tadika, Ckgu Yati akan mengenalpasti kecenderungan yang ada pada setiap anak, dan setiap petang beliau akan memilih beberapa orang anak murid untuk memberi latihan intensif secara 'one to one' dengan anak tersebut. Setelah beberapa anak 5 dan 6 tahun sebelum ini, sekarang beliau sedang menumpukan perhatian pada Auni Nashwa, anak 4 tahun yang nampaknya sudah tidak sabar mahu membaca.

Pilihan masing-masing
Kesimpulannya, apa juga kaedah yang digunakan, tidaklah bermakna tanpa minat dan latihan yang berterusan. Jika mahukan kesan yang cepat dalam jangka masa yang pendek,  maka guru, ibu bapa dan anak itu sendiri perlu rajin berusaha.
Kedua-dua kaedah yang dinyatakan insyaAllah berkesan, namun tanpa minat dan kesungguhan, kaedah apa pun, tidaklah bermakna apatah lagi dapat membuahkan hasil.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah nasib mereka sendiri".

Sekiranya ibu bapa ada sebarang kemusykilan, boleh bertanya sendiri dengan Cikgu Yati tentang kaedah yang beliau gunakan.

Terima kasih.

Saturday, September 22, 2012

Susahnya Mendidik Anak!

"Abang rasa kita patut buka tadika Islam," kata suami saya, 2 tahun lalu.

Aduh, tadika? Saya yang macam singa ini, mahu diajak mengendalikan tadika? Biar benar.

Kali terakhir saya mengendalikan kanak-kanak ialah pada tahun 2003. Saya bekerja sambilan sebagai guru di sebuah sekolah rendah di kampung saya. Pengalaman mengajar pelajar darjah 1 selama sebulan itu, benar-benar membuatkan saya terduduk. Pelajar yang menangis, menjerit, tak faham bahasa dan sebagainya, memang cukup menguji kekuatan jiwa.

"Eh, lari, lari, cikgu kejar la!" kata mereka semasa saya menyuruh mereka duduk di tempat masing-masing. Seronok pula mereka dikejar guru, tak pernah dibuat orang.

"Cikgu, tolong ikatkan rambut 'kite'!" kata seorang yang lain semasa saya sedang mengajar.

Sesungguhnya kehidupan yang sebulan itu, mendorong saya untuk bertaubat nasuha dari mengajar kanak-kanak. Mereng.

Istikharah

Saya dan suami datang dari dua latar belakang yang berbeza. Suami sejak kecil memang sudah terdedah dengan kehidupan beragama. Ilmu dan pemahaman fardhu ain sudah menjadi darah dagingnya semenjak belum baligh lagi.

Saya pula tidak begitu. Ilmu dari kecil, tetapi mula faham hanya setelah berumur belasan tahun, semasa menjejakkan kaki ke universiti.

Oleh sebab itu, kami mempunyai pandangan yang berbeza tentang dakwah.

Tumpuan suami pada pembentukan akhlak sejak kanak-kanak.
Saya pula memandang kepentingan pada remaja yang rosak dan mahu kembali ke pangkal agama.
Mana satu jalan yang terbaik? Kedua-duanya sangat bermanfaat untuk Islam.

"Ya, Allah! Tunjukkanlah jalan yang Kau pilih untuk kami. Apa yang Kau mahu kami lakukan untuk agamaMu, wahai Tuhan Yang Maha Bijaksana? Kami pasrah segala-galanya..."doa dipanjatkan pada Ramadhan lepas.

Jalan suami yang dipilih Allah. Dimudahkan hampir semua urusan untuk membuka tadika. Saya pula, perlu bermujahadah bersungguh-sungguh pada jalan ini. Allah yang memilihnya, siapalah saya untuk menidakkan, walaupun hari-hari yang dilalui bagai mengenggam bara api menahan sabar.

Buk!

Ternyata, pilihan suami ini benar. Saya bagai ditumbuk untuk menerima kenyataan, segala-galanya harus bermula sejak kanak-kanak.

Mengikut kajian Khalifah Institute, pembentukan manusia dipengaruhi oleh tiga faktor; iaitu diri sendiri, persekitaran dan pengalaman masa lampau. Faktor yang ketiga tersebut, adalah yang paling dominan dalam membentuk akhlak dan perilaku.

Kelmarin saya 'menangkap' seorang pelajar sedang menonton video wanita seksi sedang bersenam di laman youtube. Sebelumnya, ada seorang yang lain menyuruh saya klik pada gambar iklan pakaian dalam semasa mengajar mereka Bahasa Inggeris di laman web Sesame Street. Terpana saya dibuatnya.

Kanak-kanak yang belum kenal kanan dan kiri itu, sudah terserlah kecenderungan mereka pada tarikan seksual dan pornografi!

Semasa minggu pertama beroperasi, saya melihat tumpuan harus diberi pada pendidikan akademik kanak-kanak ini. Selepas kejadian kelmarin, terasa segala-galanya perlu dirombak semula.

Anak-anak ini perlu dididik dengan taqwa. Perlu difaham dan diyakinkan tentang kewujudan yang ghaib, yang sentiasa melihat dan memerhati setiap masa, sesuai dengan umur kanak-kanak tadika. Sebelum perintah solat dilunaskan ke atas mereka menjelang 7 tahun, yakin mereka terhadap Allah, malaikat dan yang lainnya perlu jelas dan tidak berbelah.

Matlamatnya, agar solat mereka nanti adalah solat dan penyembahan yang total kepada Pencipta mereka yang Satu itu. Keyakinan mereka pada malaikat yang sentiasa mencatat segala tindakan, diharapkan dapat membenteng mereka dari mungkar semasa tidak dilihat sesiapa. Mudah-mudahan.

Bukan mudah tentunya. Diri sendiri perlu dididik terlebih dahulu.

Hanya Allah yang boleh membantu. Amin.

Wallahua'lam
*Entri ini dihasilkan setahun yang lalu, semasa kami menyambung operasi Tadika Islam Al-Hadhari

Friday, September 21, 2012

Muhammad Azfar Muaz......

"Muaz, masa main dah habis ye. Pergi ambil buku English, cikgu nak bagi latihan," kata saya pada Muaz dan kawan-kawannya.

"Ala..." jawab pelajar-pelajar yang lain. Muaz diam dan menurut sahaja.

Begitulah Azfar Muaz yang kami kenali sepanjang mengajarnya hampir 9 bulan ini. Muaz bukan sahaja rakan yang disenangi rakan-rakannya, tetapi kami yang menjadi gurunya sentiasa sahaja 'sejuk' dengan tingkah dan wajahnya yang menenangkan itu.

Hari kelahiran Muaz yang ke 6 ialah pada 8 Ogos yang lalu, tetapi oleh sebab mahu meraikan dengan warga Tadika Anak Soleh yang lain, maka ibunya puan Jamilah bermurah hati menyediakan kek keju istimewa untuk santapan kami bersama. Memang terbaik! Antara kek keju yang paling sedap pernah dinikmati.

Semoga Muaz akan terus menjadi anak dan pelajar yang soleh, seterusnya sentiasa membawa keceriaan ke mana sahaja dia pergi...amin.












                               


Wednesday, September 12, 2012

jamuan raya tadika anak soleh

Alhamdulillah,dengan jayanya jamuan hari  raya tadika anak soleh telah diadakan pada hari selasa 11/9/2012. Sekalung penghargaan diucapkan kepada para ibubapa yang telah bermurah hati membawa kuih raya,air kotak,coklat dan aneka jenis makanan dan minuman bagi jamuan tersebut.Gambar2 sekitar jamuan Hari Raya .....