Saturday, September 22, 2012

Susahnya Mendidik Anak!

"Abang rasa kita patut buka tadika Islam," kata suami saya, 2 tahun lalu.

Aduh, tadika? Saya yang macam singa ini, mahu diajak mengendalikan tadika? Biar benar.

Kali terakhir saya mengendalikan kanak-kanak ialah pada tahun 2003. Saya bekerja sambilan sebagai guru di sebuah sekolah rendah di kampung saya. Pengalaman mengajar pelajar darjah 1 selama sebulan itu, benar-benar membuatkan saya terduduk. Pelajar yang menangis, menjerit, tak faham bahasa dan sebagainya, memang cukup menguji kekuatan jiwa.

"Eh, lari, lari, cikgu kejar la!" kata mereka semasa saya menyuruh mereka duduk di tempat masing-masing. Seronok pula mereka dikejar guru, tak pernah dibuat orang.

"Cikgu, tolong ikatkan rambut 'kite'!" kata seorang yang lain semasa saya sedang mengajar.

Sesungguhnya kehidupan yang sebulan itu, mendorong saya untuk bertaubat nasuha dari mengajar kanak-kanak. Mereng.

Istikharah

Saya dan suami datang dari dua latar belakang yang berbeza. Suami sejak kecil memang sudah terdedah dengan kehidupan beragama. Ilmu dan pemahaman fardhu ain sudah menjadi darah dagingnya semenjak belum baligh lagi.

Saya pula tidak begitu. Ilmu dari kecil, tetapi mula faham hanya setelah berumur belasan tahun, semasa menjejakkan kaki ke universiti.

Oleh sebab itu, kami mempunyai pandangan yang berbeza tentang dakwah.

Tumpuan suami pada pembentukan akhlak sejak kanak-kanak.
Saya pula memandang kepentingan pada remaja yang rosak dan mahu kembali ke pangkal agama.
Mana satu jalan yang terbaik? Kedua-duanya sangat bermanfaat untuk Islam.

"Ya, Allah! Tunjukkanlah jalan yang Kau pilih untuk kami. Apa yang Kau mahu kami lakukan untuk agamaMu, wahai Tuhan Yang Maha Bijaksana? Kami pasrah segala-galanya..."doa dipanjatkan pada Ramadhan lepas.

Jalan suami yang dipilih Allah. Dimudahkan hampir semua urusan untuk membuka tadika. Saya pula, perlu bermujahadah bersungguh-sungguh pada jalan ini. Allah yang memilihnya, siapalah saya untuk menidakkan, walaupun hari-hari yang dilalui bagai mengenggam bara api menahan sabar.

Buk!

Ternyata, pilihan suami ini benar. Saya bagai ditumbuk untuk menerima kenyataan, segala-galanya harus bermula sejak kanak-kanak.

Mengikut kajian Khalifah Institute, pembentukan manusia dipengaruhi oleh tiga faktor; iaitu diri sendiri, persekitaran dan pengalaman masa lampau. Faktor yang ketiga tersebut, adalah yang paling dominan dalam membentuk akhlak dan perilaku.

Kelmarin saya 'menangkap' seorang pelajar sedang menonton video wanita seksi sedang bersenam di laman youtube. Sebelumnya, ada seorang yang lain menyuruh saya klik pada gambar iklan pakaian dalam semasa mengajar mereka Bahasa Inggeris di laman web Sesame Street. Terpana saya dibuatnya.

Kanak-kanak yang belum kenal kanan dan kiri itu, sudah terserlah kecenderungan mereka pada tarikan seksual dan pornografi!

Semasa minggu pertama beroperasi, saya melihat tumpuan harus diberi pada pendidikan akademik kanak-kanak ini. Selepas kejadian kelmarin, terasa segala-galanya perlu dirombak semula.

Anak-anak ini perlu dididik dengan taqwa. Perlu difaham dan diyakinkan tentang kewujudan yang ghaib, yang sentiasa melihat dan memerhati setiap masa, sesuai dengan umur kanak-kanak tadika. Sebelum perintah solat dilunaskan ke atas mereka menjelang 7 tahun, yakin mereka terhadap Allah, malaikat dan yang lainnya perlu jelas dan tidak berbelah.

Matlamatnya, agar solat mereka nanti adalah solat dan penyembahan yang total kepada Pencipta mereka yang Satu itu. Keyakinan mereka pada malaikat yang sentiasa mencatat segala tindakan, diharapkan dapat membenteng mereka dari mungkar semasa tidak dilihat sesiapa. Mudah-mudahan.

Bukan mudah tentunya. Diri sendiri perlu dididik terlebih dahulu.

Hanya Allah yang boleh membantu. Amin.

Wallahua'lam
*Entri ini dihasilkan setahun yang lalu, semasa kami menyambung operasi Tadika Islam Al-Hadhari

No comments: