Friday, September 28, 2012

Memaknakan hidup


“God! Use me, use me, use this life! I don’t know what the future holds for me but I know that there is a vision for my life that is greater than my imagination can hold. Use me, use me, what would You had me to do?”

Terjemahan ayat-ayat di atas adalah lebih kurang begini:

“Wahai Tuhanku, pergunakanlah aku di dalam kehidupan ini! Aku tidak tahu bagaimana nasibku di masa akan datang, tetapi aku yakin wahai Tuhanku, ada sesuatu yang besar untukku yang tidak boleh aku bayangkan. Pergunakanlah aku wahai Tuhan, apakah yang Kau mahu aku lakukan?”

Wah, hebatnya doa ini. Orang yang sudi meminta-minta begini kepada Tuhannya, menyerah diri secara total dan penuh, tentu sahaja bukan orang biasa.

Doa siapakah agaknya?

Jika jawapan anda, ia merupakan doa seorang ustaz atau ustazah, atau mungkin ilmuan agama, ternyata anda salah.

Bagaimana, mahu meneka lagi, atau menyerah diri?

Hm…tak apalah, saya berikan saja jawapannya. Ia adalah ‘doa’ Oprah Winfrey.

Oprah Winfrey yang mana? Yang terkenal di seluruh dunia itukah?

Ya. Oprah Winfrey yang itu.

Menurut ceritanya, ia adalah doanya kepada Tuhan setiap malam sebelum mula dikenali. Dengan bakat dan kebolehan yang ada pada dirinya, dia merasakan bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu untuk Tuhannya. ‘To please the God’ kata orang putih.

‘Doa’nya itu telah membawanya ke kaca televisyen, menjadi pengacara dan jadilah dia sebagaimana yang kita semua maklum hari ini, bergelar wanita yang paling berpengaruh di dunia.
Pesannya kepada semua, “Always keep your feet on the ground, even when you are wearing new shoes”.

Sememangnya dia benar-benar mengota apa yang dikata. Kejayaannya tidak melupakan dia kepada matlamat asal untuk berbakti kepada Tuhan dan bangsanya. Sejumlah wang yang besar diberikan kepada institusi gereja, membantu kempen Barrack Obama untuk menjadi orang kulit hitam pertama bergelar Presiden USA, menubuhkan sekolah di Afrika dan lain-lain lagi. Tidak pernah dia lupa diri.



Kita pula?

Bersiap-siap untuk keluar seawal 7.15 pagi. Menghantar anak ke taska, tadika atau sekolah kemudian terus berkejar ke pejabat sebelum mesin ‘punch card’ berbunyi jam 8. Pulang pada waktu petang, mengambil anak, pulang ke rumah dan meneruskan segala rutin biasa sebelum melelapkan mata setelah lewat malam. Begitulah sehari-hari.
Hujung minggu pula beriadah bersama keluarga tersayang, menonton wayang dan keluar makan-makan terutama apabila hujung bulan.

Rutin ini berterusan….dan lagi…dan lagi..dan lagi.

Di mana ruang dalam diari harian , mingguan atau bulanan, yang kita peruntukkan untuk berbuat sesuatu demi Tuhan tercinta?

Solat, puasa dan ibadah khusus yang lain (kecuali zakat), manfaatnya hanya khusus untuk diri sendiri. Cukupkah hayat ini hanya dihabiskan untuk itu?

Bayangkan pula sekiranya para sahabat Rasulullah dan tabiin berfikiran sedemikian, apakah mungkin kita akan merasai kemanisan hidup bersama Islam dan iman seperti sekarang?



Renung-renungkan...

Oprah Winfrey itu kafir. Tetapi dia yakin hidup ini bukan untuk diri sendiri sahaja. Perlu ada ruang yang besar untuk melakukan sesuatu demi apa yang diyakini, iaitu agama. Jika dia yang bukan Islam itu bersungguh-sungguh untuk memenangkan agamanya, kenapa tidak kita? Selama mana perlu berbangga dengan sejarah kegemilangan Islam sahaja, tidak teringinkah untuk berbuat sesuatu demi Islam di masa akan datang?

Ada orang memenangkan agama melalui pendidikan. Ada pula yang cenderung kepada politik, khidmat social dan sebagainya. Semuanya bergantung kepada kecenderungan dan kesedaran sendiri. Pilihlah apa saja, asalkan ia bermanfaat untuk ummah dan agama.

Mari berbuat sesuatu untuk Islam. Banyak sungguh ihsan dan budi Tuhan kepada kita, tidak terasakah ingin membalasnya?

Wallahua’lam.

2 comments:

Anonymous said...

jhkklkh

Anonymous said...

jjkkkk