Sunday, September 23, 2012

Belajar Membaca Dengan Kaedah Cikgu Yati



Sudah tentunya, setiap ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah untuk memastikan permata hati mereka memperolehi kemahiran asas yang wajib dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Kemahiran membaca adalah salah satu daripadanya.

Izinkan saya berkongsi kisah anak saya, Khadijah.

2 tahun lalu.

"Cik Ida, ni apa?" tanya Khadijah, anak saya yang kedua kepada makciknya. Dia sedang membaca buku pertamanya, 'Sentuhan Raja Midas'.

"'memerlukan'" jawab Cik Ida.

Khadijah ketika itu berusia 3 tahun. Setelah boleh mengenal huruf semasa berumur 2 tahun, dia mula menunjukkan minat untuk mula membaca. Pernah juga saya mencuba kaedah Phonics (suku kata) seperti yang digunakan kebanyakan orang, tetapi Khadijah dan abangnya akan cepat jemu untuk duduk lama membaca.

"You should teach your child to read as early as possible, using the Glenn Doman method, which is word by word," kata Puan Lala, anak kepada pengasas Institut Nury, Allahyarham Dr Noor Laily.

Saya mengakui kebenaran kata-kata tersebut. Setiap kali anak-anak saya mahu menonton rancangan kegemaran mereka, mereka akan menekan butang 'info' pada alat kawalan jauh, dan boleh membaca perkataan yang panjang-panjang seperti Detective Conan, Hagemaru,Belalang dan sebagainya, tanpa perlu mengeja.

Seolah-olah mereka melihat setiap perkataan itu sebagai satu simbol, sebagaimana mereka mengetahui simbol Petronas, McDonald, Shell dan seumpamanya.

Oh ya, hampir terlupa. Kembali pada cerita Khadijah tadi.

Setelah membiasakan matanya dengan perkataan demi perkataan, dia terdorong untuk membaca buku pula. Dia mengambil buku tersebut dan memaksa makciknya mengajarnya setiap perkataan dalam buku tersebut sehingga dia boleh membacanya dengan lancar. Lebih kurang seminggu masa dihabiskan untuk buku 'Sentuhan Raja Midas'.

Apabila sudah lancar membaca, Khadijah didedahkan dengan buku 'Cepat Tulis' untuk membolehkannya belajar memecahkan perkataan yang diketahui kepada suku kata, dan menulis perkataan tersebut.
Contohnya 'makan', dipecahkan kepada 'ma-kan', 'nyamuk' kepada 'nya-muk' dan sebagainya. Dalam tempoh 6 bulan, ketika berusia 3 tahun setengah, Khadijah secara rasminya sudah boleh membaca dengan lancar, dan menulis serta mengeja ketika berusia 4 tahun.


Cikgu Yati

Anak-anak Tadika Anak Soleh mengenali Cikgu Yati sebagai guru yang paling baik dan penyayang, dan menjadi rujukan utama mereka setiap kali mahu bertanyakan apa-apa.

Cikgu Yati pernah mengikuti kursus yang dianjurkan Nury, dan rentetan daripada itu, beliau mengaplikasikan kaedah tersebut di dalam kelas anak-anak 5 dan 6 tahun.
Namun demikian, pada hematnya, kaedah tersebut sahaja tidak mencukupi untuk anak-anak didiknya, disebabkan standard soalan peperiksaan yang hanya berkisar pada huruf besar dan kecil serta suku kata sahaja. Lantas beliau menambah juga dengan kaedah phonics khas untuk tujuan peperiksaan.

Word by word
Anak-anak diajar keseluruhan perkataan menggunakan flash card putih dengan tulisan huruf kecil berwarna merah, seperti 'apple', 'book', 'cat' dan sebagainya. Pastikan hanya tulisan sahaja, tiada gambar atau contengan lain pada flash card tersebut.

(InsyaAllah contoh flash card akan dimuatnaik kemudian).

Kelebihan kaedah ini ialah, anak boleh membaca dengan cepat, dan membiasakan matanya untuk melihat perkataan secara keseluruhan, tanpa perlu mengeja. Lebih bagus lagi, anak akan mudah untuk belajar membaca bahasa lain.

Mengapa?

Kebanyakan kaedah cepat membaca di pasaran, mengajar anak untuk mengeja sesuatu perkataan. Pada pendapat kami di Tadika Anak Soleh, kaedah ini mungkin relevan untuk subjek Bahasa Melayu, kerana ia mudah dieja.
Namun, bagaimana pula dengan bahasa lain? "scissors", "ache","stomach", "knee","facade" dan sebagainya, tentu sukar sekali mahu mengejanya.
Tambahan lagi, anak-anak juga kebanyakannya lebih menyukai kaedah ini, kerana mereka faham apa yang mereka sedang baca, berbanding 'bo','ba', 'bu', 'bi'...yang tidak mempunyai makna.


Kaedah Phonics
Sepertimana buku-buku cepat membaca seperti "bacalah anakku", "cepat baca" dan sebagainya, konsep yang digunakan adalah lebih kurang sama. Anak-anak diajar mengeja suku kata demi suku kata, dan dengan latihan yang berterusan, mereka akan dapat membaca dengan lancar, sungguhpun agak lambat sedikit berbanding kaedah yang dinyatakan sebelum ini.


Di tadika, Ckgu Yati akan mengenalpasti kecenderungan yang ada pada setiap anak, dan setiap petang beliau akan memilih beberapa orang anak murid untuk memberi latihan intensif secara 'one to one' dengan anak tersebut. Setelah beberapa anak 5 dan 6 tahun sebelum ini, sekarang beliau sedang menumpukan perhatian pada Auni Nashwa, anak 4 tahun yang nampaknya sudah tidak sabar mahu membaca.

Pilihan masing-masing
Kesimpulannya, apa juga kaedah yang digunakan, tidaklah bermakna tanpa minat dan latihan yang berterusan. Jika mahukan kesan yang cepat dalam jangka masa yang pendek,  maka guru, ibu bapa dan anak itu sendiri perlu rajin berusaha.
Kedua-dua kaedah yang dinyatakan insyaAllah berkesan, namun tanpa minat dan kesungguhan, kaedah apa pun, tidaklah bermakna apatah lagi dapat membuahkan hasil.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah nasib mereka sendiri".

Sekiranya ibu bapa ada sebarang kemusykilan, boleh bertanya sendiri dengan Cikgu Yati tentang kaedah yang beliau gunakan.

Terima kasih.

No comments: